Posted by: rusnah | June 10, 2009

Episod 6 – Keindahan Dan Ketenangan Madinah sentiasa Menjadi Kerinduanku

ZIARAH TEMPAT-TEMPAT BERSEJARAH DI SEKITAR BANDAR MADINAH – 14 Februari 2001

Hari ketiga di Madinah

Program pada pagi tersebut adalah melakukan ziarah luaran di persekitaran bandar Madinah.  Taklimat ringkas telah disampaikan oleh pegawai Tabung Haji pada waktu malam sebelumnya.  Seperti hari-hari yang lainnya, cuaca di Madinah masih sejuk dan berangin.  Semua jemaah telah berkumpul diluar perkarangan hotel dan menaiki bas-bas yang telah disediakan.   Perjalanan dimulakan lebih kurang pada pukul 8.00 pagi.

Saya memberi tumpuan sepenuhnya didalam perjalanan tersebut.  Penerangan sepanjang perjalanan itu diberikan  oleh muttawif-muttawif  yang terdiri daripada pelajar-pelajar malaysia yang sedang menuntut di bandar Madinah.  Begini lah keadaannya setiap kali musim haji berkunjung.  Semua sekolah-sekolah ditutup dan pelajar-pelajar Malaysia serta juga pelajar-pelajar dari negara-negara lain mengambil kesempatan ini menjadi pembimbing bagi menambahkan wang saku.  Mujur baik juga lah mereka-mereka  ini ada, jadi dapatlah membantu jemaah-jemaah yang pertama kali berada di bumi Arab.

MASJID QUBA’

Masjid Quba'

Masjid Quba'

Destinasi pertama kami adalah menziarahi Masjid Quba’.  Masjid Quba’ merupakan masjid yang pertama didirikan oleh baginda nabi Muhammad s.a.w. ketika beliau mula-mula sampai di Madinah atau nama asalnya Yathrib. Masjid tersebut didirikan diatas  sebidang tanah milik Kalthum bin Hilmi. Nabi segera membina Masjid Quba’ dengan dibantu oleh Abu Bakar, bekas hambanya dan penduduk-penduduk desa Quba’ yang bersimpati dengan beliau. Dalam tempoh 4 hari, maka terdiri lah Masjid Quba’ tersebut. Desa Quba’ adalah desa yang subur dengan tanamannya dan banyak terdapat mata air yang jernih.

Masjid Quba’ telah diperelokkan namun kesan sejarah yang wujud didalam Masjid Quba’ memang tidak terdapat di mana-mana masjid lain.  Terdapat wujudnya 2 buah mihrab.  Satu terletak di tengah masjid, bahagian hadapan yang biasanya untuk kegunaan imam atau sebagai tanda dimana arahnya kiblat dan yang kedua ialah mihrab yang terletak disebelah kiri, dimana menurut sejarah dari mihrab itu junjungan kita Nabi Muhammad s.a.w. dapat melihat bangunan Kaabah secara langsung  dengan pandangan KASYAF (nampak walaupun terlindung).  Mihrab tersebut dikenali dengan sebutan Thaqatul Kasyaf. Masjid Quba’ didalam Al-Quran disebut  sebagai `Masjid Al-Taqwa’ (Fathul Bari).

Perjalanan ke Masjid Quba'

Perjalanan ke Masjid Quba'

Disepanjang perjalanan tersebut, saya begitu terpesona akan keindahan dan ketenangan bandar Madinah. Saya memberikan tumpuan sepenuhnya terhadap penerangan yang diberikan oleh pelajar-pelajar tersebut yang juga bertindak sebagai pemandu pelancong pada hari itu.  Setenang-tenang bandar Madinah, apabila musim haji menjelang ianya menjadi begitu sibuk kerana dihujani oleh jemaah-jemaah dari seluruh pelusuk dunia. Setelah sampai di Masjid Quba’, kami diberi masa lebih kurang setengah jam untuk berada disana.  Tanpa membuang masa, saya terus masuk dan melakukan solat-solat sunat. Setelah selesai, saya mengambil peluang membeli sedikit buah kurma nabi dengan harga diantara 60 – 80 Riyal bagi setiap kilogram.  Disini terdapat ramai peniaga-peniaga jalanan menjual barang-barang perniagaan mereka.  Terdapat juga buah kurma segar dijual disini.  Warna buah kurma segar yang kemerah-merahan itu telah menambat hati saya untuk membelinya.  Rasanya memang lazat dan manis.

MASJID QIBLATAIN

Masjid Qiblatain

Masjid Qiblatain

Destinasi seterusnya adalah Masjid Qiblatain. Di masjid inilah sewaktu Nabi s.a.w. bersolat zohor didalamnya, turunlah ayat menyuruh Nabi mengadap ke arah Kaabah.  Masjid ini juga dikenali dengan nama Masjid Bani Salimah.  Didalam masjid ini terdapat 2 mihrab, satu mengadap ke Baitul Maqdis  iaitu mihrab lama dan satu lagi mengadap kearah Kaabah iaitu mihrab baru.  Kedua-dua mihrab ini dipelihara dengan baik hingga dinamakan Masjid Dua Qiblat.

Dekat masjid ini terdapat Masjid Abu Bakar, Masjid Al-Fathu, Masjid Salman dan Masjid `Ali.  Kelima-lima masjid ini terletak dalam alur Wadil `Aqiq.  Inilah masjid yang terkenal dengan Masjid lima.  Selain daripada itu terdapat pula beberapa masjid lain diantaranya Masjid Ghammamah.

JABAL UHUD

Jabal Uhud

Jabal Uhud

Perjalanan seterusnya adalah ke Jabal Uhud.  Warna tanah dan bukit Uhud itu berwarna kemerah-merahan.  Disini terdapat perkuburan para syuhada yang telah terkorban ketika berlakunya peperang Uhud.  Kedengaran bacaan-bacaan Al-Quran dari kaset-kaset diperdengarkan . Aku berkesempatan membaca doa di perkuburan tersebut dan melihat persekitarannya terutamanya di Jabal Uhud tersebut dan cuba membayangkan disinilah nabi Muhamad s.a.w. dan para sahabat berjuang demi menegakkan syiar islam. Perkuburan ini dibina dengan dikelilingi tembok yang tinggi. Makam para syuhada hanya dapat dilihat melalui lubang-lubang kecil yang terdapat didinding pembinaan tembok tersebut.

Perkuburan Uhud

Perkuburan Uhud

PASAR KURMA

Didalam perjalanan balik ke Madinah, kami melalui beberapa lagi masjid-masjid bersejarah seperti Masjid Ghammamah serta Masjid Tujuh.  Kami hanya melihat masjid-masjid tersebut dari dalam bas sahaja. Sekembalinya kami ke Madinah, semua jemaah dibawa ke pasar kurma yang rata-rata sering dikunjungi oleh jemaah haji.  Disini terdapat berbagai jenis buah kurma disamping itu juga terdapat beberapa jenis chocolate dan candy kurma serta kekacang ada dijual disini.

Lebih kurang pukul 11.30 pagi, semua jemaah telah kembali semula ke tempat penginapan. Agak keletihan juga, namun saya rasa begitu puas dan menyeronokkan.  Seperti rutin harian yang lainnya, lebih kurang pukul 12.30 tengahari, saya dan suami akan sama-sama menuju ke Masjid Nabawi untuk melakukan solat Zohor.


Leave a Reply

Please log in using one of these methods to post your comment:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

Categories

%d bloggers like this: