Posted by: rusnah | September 7, 2009

Lailatulqadar

Lailatulqadar dianggap malam yang sangat istimewa kerana dinamakan sendiri oleh Allah SWT di dalam al-Quran. Kemudian Allah SWT telah mengkhususkan satu surah dengan nama surah al-Qadr yang menunjukkan istimewanya malam tersebut.

Firman Allah SWT yang bermaksud: “sesungguhnya Kami telah menurunkannya di malam al-Qadr. Apakah kamu tahu apa itu malam al-Qadr? Malam al-Qadr adalah lebih baik dari seribu bulan. (Pada malam tersebut) para malaikat dan al-Ruh (Malaikat Jibrail) turun padanya dengan izin tuhan mereka untuk mangatur segala urusan. Sejahteralah malam tersebut sehingga terbit fajar” (al-Qadr: 1-5)

Surah al-Qadr ini merupakan Surah Makkiyyah iaitu diturunkan di Makkah dan merupakan surah ke-25 menurut turutan surah-surah al-Quran. Mujahid r.a. telah meriwayatkan sebab turun ayat ini di mana Nabi SAW telah diceritakan tentang kisah seorang lelaki Bani Israel yang memikul pedang berjuang di jalan Allah selama 1000 bulan. Lalu Baginda SAW rasa dukacita atas umur umat yang pendek lalu turunlah surah ini.

Surah ini menceritakan tentang al-Quran yang diturunkan oleh Allah SWT secara keseluruhannya pada malam yang dinamakan al-Qadr. Makna  al-Qadr di dalam Surah ini ialah hukum, tadbir atau ketentuan. Apa yang dimaksudkan pada malam tersebut ialah, Allah menentukan takdir dan ketentuan sesuatu perkara sepertimana yang dinyatakan oleh Ibnu Abbas r.a. Malam al-Qadr juga bermaksud suatu malam yang mulia dan mempunyai kedudukan yang sangat tinggi. Allah SWT menyatakan bahawa malam al-Qadr adalah lebih baik daripada seribu bulan iaitu nilai kelebihan bagi mereka yang beramal di malam tersebut menyamai 82 tahun. Ayat ini memberitahu bahawa erti dan nilai kehidupan bukanlah selama mana kita dapat hidup tetapi nilai umur seseorang ialah bagaimana dia dimanfaatkan sepenuhnya. Seseorang yang beribadah meskipun umurnya pendek adalah lebih mulia dari seorang yang umurnya lanjut tetapi jauh dari Allah SWT.

Malam lailatulqadar jika diisikan dengan ibadah maka nilainya seperti beribadah selama 82 tahun jika dihidupkan sekali sahaja. Cuba kira jika dilakukan sepuluh malam al-Qadr, ianya menyamai beribadah selama 820 tahun. Dihujung ayat ini Allah SWT mengakhiri dengan perkataan salam yang bermaksud sejahtera iaitu orang yang menghidupkan malam tersebut akan mendapat kesejahteraan yakni ganjaran syurga dari Allah azzawajalla. Sabda Nabi Muhammad SAW yang bermaksud: “Barang siapa mendirikan Lailatulqadar dengan penuh keimanan dan pengharapan, diampunkan dosanya yang telah lalu” – Hadis riwayat Imam Bukhari dan Muslim.

Mencari malam al-Qadr bukanlah dengan berjaga sahaja atau beribadah pada hari-hari tertentu sahaja. Tetapi hendaklah dilakukan secara istiqamah bermula dari malam pertama Ramadhan. Pencarian ini juga mestilah dilandaskan kepada niat yang ikhlas yakni mahu menebus dosa kemudian melakukannya.

Berkenaan dengan tanda-tanda Lailatulqadar antaranya ialah:

  1. Malam tersebut terang dan bercahaya
  2. Ketenangan malam yang dapat dirasai oleh mereka yang beriman
  3. Angin bertiup lembut
  4. Ada yang bermimpi menemui malam lailatulqadar pada malam tersebut
  5. Rasa kelazatan ibadah yang berbeza pada malam tersebut
  6. Matahari terbit fajar keesokannya dengan kesuraman cahaya dan cerah tidak seperti hari-hari lain. Ubay bin Ka’ab meriwayatkan bahawa Nabi SAW bersabda yang bermaksud: “Ia (tanda Lailatulqadar) ialah matahari terbit tanpa cahaya yang terlalu terang” –Hadis riwayat Imam Muslim

Berdasarkan kelebihan Lailatulqadar tersebut, maka marilah sama-sama kita mencarinya dengan bersungguh-sungguh di hujung Ramadhan yang mulia ini kerana kita belum pasti jika lailatulqadar tahun ini terlepas, apakah kita masih hidup untuk mencarinya pada bulan Ramadhan tahun akan datang.


Leave a Reply

Please log in using one of these methods to post your comment:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

Categories

%d bloggers like this: